30.1.18

Malam sunyi

Aku seperti biasa cuba berlagak tenang di hadapan mak, abah, adik dan kau sayang. Aku duduk di hadapan tv, sambil membelek telefon pintar ku. Semua getar ku sorok sempurna.
Perlahan-lahan kau berjalan dan duduk di atas tilam dan melihat Adni yang sedang tenang tidur. Usai kucup dan memeluk Adni, kau mengajak aku untuk pulang. Aku bangkit dan pergi ke Adni lalu mengucup lama pipi tembamnya. Sayu.

Aku menutup pintu kereta. Berat. Tapi berat lagi hati aku waktu itu. Keadaan gelap dalam kereta berjaya menyorokkan riak wajah kita. Kau memandu kereta terus ke Gambang. Perjalanan kita malam itu sunyi.

Kereta yang kau pandu berhenti di lampu merah. Aku meraih tangan kiri kau dan mengenggam erat. Cuba untuk mencuri semangat. Suara, wajah, tangisan Adni kini bermain di tubir mata aku. Genggaman aku di balas dan kita menangis tanpa suara.

Malam itu, menjadi malam yang terlalu sunyi bagi aku.



9.11.17

Racun terlebih masa

Masa yang luar biasa banyaknya
diisi dengan mengorek
duka dan suka lama.
Air mata gugur
tanpa sedar
dan kau seperti biasa
menuduh 
ini perihal kimia
atau kerana sebuah gambar lama.

3.11.17

Keluhan singkat

Bagaimana ya ingin membuang perasaan dan fikiran buruk di dalam kepala saya ini? Semakin menjadi-jadi pula. Puas saya beristighfar tetapi ya Tuhan, perasan dan fikiran buruk itu berlalu bagaikan angin saja. Terbang dan kembali melekat di otak saya ini. Dan bagaimana pula ya saya ingin membuang tabiat mebanding-bandingkan diri saya dengan orang lain ya? Tabiat ini sungguh menjengkelkan. Aduhai.