15.10.14

Terabur

Terabur sebenarnya bukan perkataan yang sesuai untuk menzahirkan apa yang saya fikirkan sekarang. Saya perasan yang saya sukar untuk memilih perkataan yang sesuai (ataupun perkataan yang tepat) apabila bercakap dan akhirnya saya akan tergagap ataupun menghasilkan jeda yang berbunyi panjang (contoh: aaaaaaaaaaaa, ummmmmm, ermmmmm) yang  menjengkelkan orang yang mendengar. Saya pun kerap menyampah dengan jeda berbunyi panjang saya ini. Tapi apa boleh buat ianya sudah menjadi refleks. Malah, apabila bercakap dengan diri sendiri pun saya susah untuk memilih perkataan yang tepat bagi menghuraikan perasaan saya ketika itu. Inilah akibatnya, tidak belajar Bahasa Melayu dengan bersungguh. Sedangkan bahasa itu boleh menjadi alat komunikasi yang berkesan jika menggunakannya dengan baik. Pos ini berbaur negatif dan membuang masa anda tapi apa boleh buat, saya geram dengan keadaan diri saya ini. Nasiblah kerana anda sudah terbaca pos yang membuang masa ini. Tiada isi pun. Hanya luahan dan rungutan saya.

 Oh sebenarnya saya mahu bercakap pasal pencemaran yang melanda negeri saya. Secara spesifiknya di daerah kelahiran saya. Saya kurang pasti atau mungkin saya kurang ambil peduli mengenai hal ini, tetapi sejak kebelakangan ini asap semakin menepu di daerah saya. Walau duduk dalam kereta pun saya sudah merasa lemasnya. Adakah asap ini datangnya dari negara jiran atau pun memang dari daerah saya? Tetapi setiap pagi saya terpaksa melihat pemandangan yang begitu menyakitkan mata saya. Asap hitam dan kadang-kadang kelabu atau kuning dari kilang papan bebas keluar merebak ke langit dan meracun awan biru kesayangan saya. Setiap pagi saya terpaksa melihat kejadian kejam ini.Tidak dinafikan, saya juga menyumbang kepada asap hitam, kelabu kuning yang keluar dari kereta putih saya ini. Dan ini lagilah merobek hati saya. Saya rasa sungguh hipokrit. Itu belum lagi melihat sampah yang memutih di rumput hijau tempat parkir kereta. Turun dari kereta, sudah memijak sampah. Rumput pun naik lemas. Tapi apa saya buat? Kalau saya rajin saya akan tolong buangkan. Tapi ya Tuhan! susah sungguh mencari tong sampah! Dan kalau saya malas, saya akan buat-buat tak nampak saja sampah di hujung kaki dan berlalu pergi sambil memikir lauk apa harus saya makan nanti.

Itu baru di kawasan pejabat. Di kawasan orang-orangnya terpelajar. Yang tahu akan pentingnya melestari dan memelihara alam. Tapi kawasan ini jugalah punya banyak sampah. Belum lagi dilihat kawasan surau. Tempat ibadah. Plastik jajan merata! Belum lagi lihat lautnya. Plastik berwarna-warni lebih banyak daripada pasir. Sekarang saya sudah berbunyi seperti emak-emak yang meleteri anaknya menconteng dinding rumah.

Saya sudah malas mahu berleter lagi. Nanti kalau ada hati, saya tulis lagi.

Sayangilah bumi kita.
Kita bukannya ada bumi lain pun.

No comments: