8.11.14

Jalan Cenderasari.

Rintik hujan bulan November terjun dengan membawa seribu rahsia dan zat ke Bumi Kuantan sambil menghasilkan bunyi indah. Bulan-bulan terakhir ini membuat Nilam semakin sayu dan sendu.  Sejuk memeluknya mesra sambil dia menongkat dagu depan komputer ribanya.Waktu lalu seakan bermain di tubir matanya. Laju sehingga matanya pedih.

Persediaan. Preparation.

Nilam tidak suka ditemuduga. Dia rasa amat janggal bercakap depan orang-orang besar. Dia rasa dia aneh benar. Sering sesi temuduganya itu membuatnya pedih. Seperti cacing kena garam. Menggelupur. Pedihnya sampai seminggu, mungkin sebulan dua atau selamanya? Tapi, sebab sesi itu jugalah dia tahu apa yang tak kena dengan dirinya ini.

 Nyata,kali ini Nilam tidak menjangkakan sesi itu jadi sebegitu rupa (Jangkaan Nilam sentiasa meleset sampai melecet hatinya). Begitu juga setahun yang lepas. Meleset sekali. Mujur. Mujur Tuan Hj. O yang bermuka Sabah dan En. Y  berwajah Cina itu sungguh sopan. Kata Tuan Hj. O itu, Nilam perlu bersedia. Dan sungguh Nilam tidak bersedia! Jawapan budak darjah lima lagi bernas daripada jawapannya! Adoi.

Nilam jarang bersedia. Dalam kelas silat pun sama. Dia selalu khayal. Badan sudah jatuh di pasir baru dia sedar dia ditumbuk. (-_-'). Kalau di dunia pun Nilam tak bersedia, bagaimana dia mahu mengharungi hari akhirat kelak? Bersediakah dia? Berapa banyak persediaan yang telah dia buat? Cukupkah? Bolehkah dia jawab semua soalan Tuhan kelak? Hatinya berdebar. Organ dalamannya kecut-kecut juga bila memikirkan itu semua.

Nilam membiarkan semua soalannya larut dalam air hujan dan kegelapan malam. Dia terus bermimpi dan berkhayal kerana realiti terlalu menakutkan.

                                                                              ***

No comments: